RSS
Memaparkan catatan dengan label latihan dan semakan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label latihan dan semakan. Papar semua catatan

Selasa, Ogos 28, 2012

SEMINAR KECEMERLANGAN BAHASA MELAYU UPSR 2012

A. PENGENALAN KERTAS BAHASA MELAYU PENULISAN
Nama Kertas : 012 – Bahasa Melayu.
Masa : Satu jam lima belas minit.
· Kertas soalan ini mengandungi tiga bahagian:
Bahagian A. Bahagian B dan Bahagian C.

· Kamu dikehendaki menjawab ketiga-tiga bahagian. Bagi bahagian B, kamu boleh memilih sama ada menjawab Soalan 1, Soalan 2 atau Soalan 3.

Pengenalan Bahagian A

. Soalan bahagian ini wajib dijawab
. Bentuk soalan di bahagian A ialah soalan bergambar
. Gambar terdiri daripada gambar bersiri atau gambar tunggal
. Kamu mestilah membina ayat-ayat lengkap berdasarkan maklumat atau aktiviti yang terdapat dalam gambar tersebut.

Kepada semua murid Tahun 5 dan 6.

Latihan Kertas 1 dan Kertas 2 boleh dilihat pada bahagian "LATIHAN HUJUNG MINGGU" dan bahagian "SEMAKAN" (bahagian sebelah kanan blog).

Selamat Berjaya!
PERSEDIAAN MENGHADAPI PEPERIKSAAN
Assalaamualaikum...

MENGATASI PELBAGAI SOALAN DAN KEBIMBANGAN

Saya tidak tahu dimana patut bermula.

Jangan panik. Senaraikan semua perkara yang perlu anda lakukan. Agih-agihkan tugasan anda kepada bahagian yang lebih kecil dan mudah dilaksanakan. Tentukan keutamaan tugasan, yang utama didahulukan. Rancang masa untuk menyelesaikan setiap tugasan ini sebaik-baiknya. Jangan sesekali ponteng kelas ketika hampir dengan peperiksaan. Anda mungkin tertinggal ulangkaji dan tip-tip penting yang dibincangkan oleh guru atau pensyarah. Gunakan masa-masa rehat yang ada untuk mengimbas kembali apa yang telah dipelajari. Berikan masa bukan sahaja untuk belajar tetapi juga untuk merancang strategi pembelajaran anda. Jangan terburu-buru, mulakan belajar anda dengan topik yang senang dahulu. Mulakan 30 minit – 1 jam dahulu. Semakin lama, terutamanya apabila semakin hampir dengan peperiksaan, tingkatkan waktu belajar anda.


Terlalu banyak untuk dibaca sedangkan peperiksaan semakin hampir.

Buat tinjauan. Berikan masa untuk anda membuat tinjauan keseluruhan topik. Kenalpasti topik-topik penting. Fahami konsep-konsep penting. Pastikan topik yang anda maih belum faham. Mulakan belajar topik yang penting-penting dahulu. Mana-mana topik yang kurang penting, dan tidak sempat diulangkaji sepenuhnya, fokus hanya kepada fakta-fakta utama. Tetapi ingat, tinjauan hanya boleh membantu sekiranya anda benar-benar sudah tidak punya masa. Kalau anda masih sempat membacanya, maka bacalah dengan terperinci.

Subjek ini cukup membosankan. Anda rasa jemu dan mengantuk apabila membacanya.

Belajar secara aktif bukannya pasif. Gunakan kaedah membaca yang berkesan. Dapatkan soalan-soalan berkaitan dengan topik yang dipelajari sebelum memulakan ulangkaji. Pelbagaikan aktiviti ketika belajar. Selang-selikan diantara aktiviti membaca dengan menulis nota, melakar peta minda (atau peta konsep), menghafal, menggaris kata kunci dan menjawab soalan-soalan. Libatkan diri anda sebanyak mungkin dengan apa yang sedang dibaca. Tukarkan apa yang dibaca kepada gambaran minda. Belajar bersama rakan yang lebih arif tentang subjek tersebut dan bincangkan.


Anda baca dan anda faham, tetapi anda tidak mampu mengingatinya.

Cuba kaitkan apa yang sedang anda pelajari dengan apa yang telah aanda ketahui. Gunakan beberapa pendekatan untuk mengingat seperti:

Hafal kata kunci, bukannya hafal ayat.
Gunakan Teknik Ceraian.
Gunakan Teknik Mnemonik.
Tuliskan fakta-fakta penting pada kad dan bawanya bersama anda kemana sahaja. Kerapkan buat imbasan terhadap kad- kad ini.


Anda rasa anda faham apa yang dibaca. Anda rasa anda telah mengingatinya.

Jangan cepat merasa puas hati dengan apa yang anda usahakan. Uji ingatan dan pengetahuan anda. Jawab soalan-soalan dari buku atau dari peperiksaan tahun-tahun sebelumnya. Bina soalan-soalan berdasarkan tujuh soalan asas iaitu Apa? Siapa? Bila? Dimana? Berapa? Kenapa? Bagaimana? Misalnya, kalau anda sedang membaca sejarah Melaka diserang Portugis, tanyakan soalan-soalan seperti:

Bila Melaka diserang?
Kenapa Melaka diserang?
Siapa yang menyerang?
Bagaimana Melaka diserang?

Terlalu banyak untuk dihafal dan diingat.

Penyusunan maklumat. Maklumat dan fakta-fakta dapat dikeluarkan dengan lebih baik sekiranya ia dibaca, dihafal dan disimpan dalam bentuk yang sistematik. Terdapat pelbagai pendekatan yang boleh anda guna untuk menyusun maklumat atau fakta ini, antaranya ialah:

1. Tuliskan rangka setiap bab yang dibaca atau ringkasan tentangnya. Perhatikan perkaitan antara satu bahagian dengan bahagian yang lain dalam tajuk tersebut.
2.
Cuba kumpulkan maklumat kepada beberapa kategori berdasarkan persamaan yang ada.
3.
Cuba bahagikan kepada hieraki (sekiranya ini boleh dilakukan).
4.
Pemetaan maklumat. Cuba lakarkan peta konsep bagi menyusun bahan-bahan yang ada perkaitan. Misalnya kalau anda sedang membaca sejarah tentang perang dunia kedua, anda mungkin boleh buatkan satu carta tentang semua negara yang terlibat. Kemudian senarai isu penting atau peristiwa penting disebelah carta tersebut. Anda mungkin kaitkan kembali isu/perkara penting ini dengan negara-negara tersebut berdasarkan kepentingan dan kesan ke atas mereka

Tadi anda masih ingat tetapi kenapa kini anda lupa?

Sering buat imbasan. Kajian menunjukkan bahawa sebagai manusia normal anda akan lupa 80% apa yang telah dibaca hanya dalam masa 24 jam. Oleh itu anda perlu merancang satu strategi agar anda mampu mengatasi kelemahan ini.

Pastikan setiap apa yang anda baca telah diringkaskan. Jadikan fakta seringkas mungkin dengan syarat apabila anda melihat fakta tersebut anda mampu menceritakan semula apa yang mahu disampaikan olehnya. Ada ketikanya fakta yang panjang sekalipun mampu anda ringkaskan menjadi dua atau tiga patah perkataan. Selepas 24 jam, cuba lihat nota ringkas anda ini. Cuba ceritakan semula apa yang anda fahami. Sekiranya anda mampu menceritakannya, bermakna anda sudah mampu memanggil semula maklumat tersebut. Sekiranya tidak, semak semula sekali imbas teks asal. Berikan masa menjawab soalan-soalan berkaitan dengannya bagi mengukuhkan lagi ingatan anda. Semak semula apa yang dibaca dari semasa ke semasa. Dengan cara ini anda tidak perlu bersusah payah membaca teks asal kembali sewaktu hampir dengan peperiksaan.


Anda suka belajar disaat-saat akhir.

Ramai pelajar yang berpendapat lebih baik belajar disaat-saat akhir, sebab kalau belajar awal pun nanti lupa juga. Pendapat di atas adalah tidak benar. Anda perlu belajar seawal mungkin bagi mengenal pasti kelemahan dalam sesuatu bab. Dengan belajar awal juga anda punya banyak masa untuk bertanya pada guru dan rakan-rakan. Salah satu rahsia belajar ialah kekerapan. Lagi kerap sesuatu bahan itu diulangbaca maka lagi besar potensi untuk anda memahami dan mengingatinya. Oleh itu, mulakan langkah anda sekarang. Mulakan sedikit dahulu. Mulakan dengan yang mudah-mudah dahulu dan apabila minat dan semangat mula berputik, barulah lakukan dengan lebih bersungguh-sungguh.



BELAJAR UNTUK PEPERIKSAAN


Ramai pelajar yang rajin belajar tetapi tidak memperolehi keputusan yang setimpal dengan usaha mereka. Keadaan ini berlaku disebabkan mereka tidak belajar dengan pendekatan untuk cemerlang dalam peperiksaan. Mereka tidak merancang jadual belajar dan masa mereka dengan betul. Artikel ini akan membincangkan apa yang perlu anda lakukan mulai sekarang
hinggalah ke dewan peperiksaan bagi memastikan anda lakuka yang terbaik.

Bersedia untuk belajar

Peperiksaan semakin hampir. Anda perlu melakukan persediaan bagi memastikan anda mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lenih tinggi sama ada di kolej ataupun universiti.

Sekiranya anda memang telah belajar dari awal, pastinya tidak banyak yang perlu dirisaukan. Tetapi bagaimana pula sekiranya anda baru mahu bersungguh-sungguh mengulangkaji. Lebih-lebih lagi sekiranya anda bakal menduduki SPM. Kepada pelajar SPM saya nasihatkan agar memberikan tumpuan kepada matapelajaran penting. Iaitu matapelajaran yang membawa anda ke menara gading. Matapelajaran ini ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan dua matapelajaran elektif (Fizik, Kimia, Biologi, Prinsip Akaun, Ekonomi, Sains Tambahan, Matematik Tambahan, Kejuruteraan). Sekiranya anda mendapat markah yang baik dalam kelompok mata pelajaran ini maka peluang anda untuk ke universiti adalah cerah.

Namun begitu, sekiranya anda mampu, hendaklah anda dapatkan markah yang terbaik bagi semua mata pelajaran. Sebab persaingan ke universiti kini semakin sengit. Mereka yang berjaya biasanya memiliki pencapaian yang baik dalam semua mata pelajaran.


Buatkan jadual belajar untuk peperiksaan

Jangan panik. Itu adalah pesan saya yang paling utama. Walaupun anda rasakan banyak yang perlu difahami dan diingati, jangan sekali-kali anda panik. Sekiranya anda panik, anda akan mengundang lebih banyak masalah berbanding penyelesaian. Tidak ada masalah tanya penyelesaian.

Mula menyemak semua buku-buku yang ada termasuk nota sekolah, buku teks, buku rujukan, soalan-soalan ramalan dan soalan-soalan tahun lepas. Pastikan semuanya lengkap dan dalam keadaan baik.

Langkah pertama kenal pasti bab-bab yang susah dan belum anda kuasai untuk semua mata pelajaran. Senaraikan bab-bab ini. Senaraikan juga bab-bab yang telah anda kuasai dengan baik.

Langkah kedua buatkan analisa soalan-soalan sejak 5 tahun yang lepas. Lihat bab-bab yang sering keluar soalan darinya. Bab-bab ini merupakan bab-bab penting yang tidak boleh tidak mesti anda kuasai dengan baik.

Buatkan jadual perancangan belajar anda. Agihkan tajuk-tajuk dari sekarang hinggalah seminggu sebelum peperiksaan. Jangan diganggu minggu terakhir sebelum peperiksaan sebab minggu terakhir ini adalah untuk anda lakukan semakan terakhir nanti. Mana-mana bab yang penting, mulakan ulangkajinya dahulu. Lagi awal anda mengulangkaji bab-bab ini lagi cepat anda mengenalpasti dan seterusnya mengatasi setiap masalah. Sekiranya anda terpaksa menghabiskan 4 bab seminggu maka habiskanlah. Anda mungkin terpaksa belajar 5 - 8 jam sehari untuk mengulangkaji semua matapelajaran. Oleh itu anda perlu berkorban demi masa depan. Anda mungkin belajar 1 jam di waktu pagi, 2 jam pada tengahari, 1 jam diwaktu petang dan 3 jam diwaktu malam. Ini menjadikan masa belajar anda 7 jam sehari.


Mengingati Tajuk

Ramai pelajar tidak menyedari hakikat penting ini. Kalau anda mampu mengingati apa tajuk-tajuk yang terkandung dalam sesuatu matapelajaran maka anda mempunyai gambaran yang jelas tentang apa yang anda pelajari.


Buatkan Nota

Anda hanya perlu mempelajari sekali sahaja setiap tajuk. Pastikan dengan usaha yang sekali ini anda mampu memahaminya. Ramai pelajar yang mengulang baca sesuatu tajuk beberapa kali dan kemudiannya lupa. Cara belajar begini bukan sahaja menjemukan malah merugikan masa anda, sedangkan peperiksaan semakin hampir.

Setelah anda memahami apa yang dibaca, buatkanlah nota-nota ringkas. Yang terbaik ialah anda ringkaskannya mengikut apa yang anda fahami. Bandingkan nota anda dengan teks asal bagi memastikan fahaman anda betul dan tidak ada fakta penting yang tertinggal.

Ringkaskan setiap fakta menjadi lebih pendek bagi memudahkan anda mengingatinya. Kenalpasti kata kunci dalam setiap fakta. Buatkan senarai kata kunci dan hafal. Lakarkan peta minda atau peta konsep berdasarkan tajuk-tajuk dan kata kunci yang ada. Pastikan apabila anda mengingati kata kunci, maka anda mampu mengingati keseluruhan fakta yang berkaitan dengannya.

Latih diri anda untuk peperiksaan

Anda perlu melatih diri anda untuk peperiksaan. Tanpa latihan anda tidak mungkin dapat memberikan hasil yang terbaik. Minda anda juga seperti otot-otot fizikal anda yang lain. Ia perlu dilatih secara intensif bagi mencapai sesuatu hajat. Mereka yang mahu cemerlang dalam 'bowling' perlu melakukan latihan berterusan bagi meningkatkan kemahiran ber'bowling'. Begitu juga dengan peperiksaan. Anda perlu melatih diri anda bagi tujuan cemerlang dalam peperiksaan.


Syarat-syarat latihan peperiksaan ialah:

1.Latih mengeluarkan maklumat dengan banyak, cepat dan tepat.
2.Latih dalam tempoh masa yang tertentu.
3.Anggapkan setiap latihan seperti peperiksaan sebenar.
4.Latih menjawab mengikut strategi menjawab soalan yang
berkesan.


1. Latih mengeluarkan maklumat

Maklumat yang dibaca mestilah mampu dikeluarkan semula. Oleh itu anda perlu sentiasa melatih diri anda untuk mengeluarkan maklumat yang telah dipelajari. Perbanyakkan latihan-latihan seperti:

Menjawab soalan-soalan;
Menceritakan semula apa yang telah dipelajari;
Melakarkan kembali dalam bentuk peta konsep / minda;
Mengadakan perbincangan dengan rakan;
Menyediakan kad imbasan kecil.
Menggambarcarakan apa yang telah dipelajari.
Sekiranya anda pelajar SPM atau STPM, cuba hasilkan model jawapan soalan esei berdasarkan soalan-soalan yang ada. Cuba pecahkan fakta-fakta penting dalam bentuk peta minda/konsep. Ini memudahkan anda mengingati isi-isinya dalam peperiksaan sebenar kelak.


2. Hadkan masa menjawab

Pastikan anda menjawab dalam had masa yang ditetapkan. Peperiksaan bukan sahaja memerlukan anda mengetahui banyak fakta, tetapi anda perlu mengeluarkan fakta-fakta yang berkaitan dalam masa yang telah ditetapkan. Oleh itu anda perlu pantas dan kepantasan hanya boleh dibina melalui latihan yang berterusan.

Oleh itu anda perlu kerap menjalankan latihan ujian. Iaitu menjawab soalan-soalan dalam had masa seperti dalam peperiksaan.


3. Anggap seperti peperiksaan sebenar

Pastikan anda bebas dari gangguan, tidak melengahkan masa, tumpuan yang tinggi dan rasakan seolah-olah tekanan peperiksaan yang sebenar. Elakkan dari meniru sepanjang menjalani latihan ujian. Gunakan strategi menjawab soalan (lihat di bawah). Ingat masa berjalan, oleh itu jangan sekali-kali biarkan fikiran anda melayang. Sekiranya soalan itu susah, maka berikanlah jawapan yang terbaik. Anda perlu belajar mengenali gerak hati anda sebab anda memerlukannya dalam peperiksaan yang sebenar nanti.


4. Strategi menjawab soalan

Untuk mendapatkan markah yang tinggi dan mengelak dari berlakunya kecuaian, anda memerlukan strategi menjawab soalan yang berkesan.

Langkah-langkah berikut dapat membantu:

1.Baca arahan terlebih dahulu.
2.Baca arahan terlebih dahulu.
3.Kenal pasti dan garis kata kunci kepada soalan.
4.Jawab soalan mengikut turutan berikut:

Jawab soalan BONUS - Iaitu soalan yang anda pasti jawapannya betul. Ia mungkin soalan yang telah anda ramal, atau yang pernah anda latih sebelumnya.

Jawab soalan yang senang - Iaitu soalan yang mampu anda jawab hanya dengan satu kali cubaan.

Jawab soalan-soalan yang susah - iaitu soalan yang memerlukan masa yang panjang atau soalan yang anda memang tidak tahu jawapannya.

Semak - Pastikan semua soalan dijawab; Untuk soalan objektif, pastikan tandanya betul.

Ulang jawab - Kalau masih ada masa, ulang jawab soalan bonus dan senang. Ingat! soalan inilah yang anda pasti lakukan kecuaian oleh itu semak dengan tujuan mencari kesilapan tersebut. Bukannya menyemak dengan tujuan berpuashati dengan jawapan. Langkah terakhir barulah ulang jawab soalan-soalan susah. Itu pun sekiranya masa masih mengizinkan.


Mencari sebab (post-mortem)

Anda perlu menkaji kelemahan diri anda setiap kali selesai menjawab soalan-soalan. Setelah anda selesai membuat latiha ujian. Semak setiap jawapan yang dibuat. Sekiranya jawapan anda salah maka lakukan 'post-mortem', iaitu proses mencari sebab. Setiap kesilapan ada sebab-sebabnya dan ini merupakan masalah utama yang perlu anda atasi. Antara sebab-sebab kesalahan berlaku ialah:

Tidak tahu (tidak baca) - Ini bermakna persediaan diri anda kurang. Maka berikan masa membaca tajuk-tajuk tersebut.

Tidak faham - Anda baca tetapi tidak faham. Tanyakan padaguru atau rakan.
Lupa - Ini disebabkan anda kurang mengulangi apa yang telah dipelajari.
Cuai - Pastikan anda mengikuti langkah-langkah dalam Strategi Menjawab Soalan di atas.
Keliru - Tanyakan pada guru tentang bentuk soalan yang mengelirukan anda. Minta penjelasan dari guru sebelum hari peperiksaan agar kesilapan yang sama tidak diulangi.

Jangan buang masa

Dalam suasana peperiksaan semakin hampir anda perlu gunakan setiap masa yang terluang untuk mengulangkaji. Sekirannya masa yang terluang tidak sesuai untuk anda membaca dan menghafal, maka gunakan masa tersebut untuk anda melatih mengeluarkan maklumat. Ceritakan apa yang telah anda pelajari kepada diri anda sendiri. Lakarkan apa yang anda ketahui pada sehelai kertas. Aktiviti sebegini mengukuhkan lagi ingatan anda dan memudahkan pengaliran keluar maklumat ketika dalam peperiksaan kelak.

Bagi mengelakkan rasa jemu belajar, pelbagaikan aktiviti dalam satu-satu sessi mengulangkaji.


CIKGU MOHD PARDZLI BIN LAZIM

Selasa, April 20, 2010

Berita - Hari Usahawan Sekolah

BANDAR BAHARU, Selasa - Hari Usahawan Sekolah Kebangsaan Relau telah dilaksanakan di sekitar Dataran Perhimpunan SKR. Hari Usahawan tersebut dianjurkan oleh pihak sekolah dengan kerjasama daripada PIBG. Program tersebut dimulakan pada jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 12.30 tengah hari.

Pegawai Pelajaran Daerah turut hadir bagi menyempurnakan msjlis perasmian Hari Usahawan tersebut. Dalam ucapannya, beliau berharap agar para murid dapat dilatih menjadi seorang usahawan yang terkenal disamping dapat berdikari. Tuan Pegawai Pelajaran Daerah juga sempat berbual mesra dengan guru-guru dan murid-murid.

Para guru dan murid telah bekerjasama dan berganding bahu menghias gerai masing-masing seawal 7.30 pagi. Banyak bahan makanan telah dijual antaranya gerai nasi tomato, gerai laksa dan laksam, gerai makanan ringan, gerai kek dan sebagainya. Semua gerai mendapat sambutan yang hangat daripada para waris dan murid-murid.

Hari Usahawan tersebut bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan antara pihak sekolah dengan para waris. Ramai para waris yang turut hadir dan berbelanja sambil menderma kepada pihak sekolah. Selain itu, penglibatan AJK PIBG juga memainkan peranan penting dalam menjayakan Hari Usahawan 2010 ini. Disamping itu, banyak juga agensi kerajaan mahupun swasta turut hadir bagi menjayakan program tersebut. Para waris yang hadir juga berpeluang membuat pemeriksaan kesihatan, menyaksikan pameran AADK, Bomba dan Penyelamat serta pameran pihak Maybank.

Sebelum Hari Usahawan ditamatkan, cabutan bertuah telah dijalankan. Ramai para waris dan murid telah menerima hadiah masing-masing. Hadiah utama berupa sebuah basikal dan diiringi 50 hadiah lain. Tuan Guru Besar, Encik Saad bin Jali sempat mengucapkan terima kasih atas komitmen dan kerjasama para waris dan murid yang sama-sama menjayakan program tersebut. Hari Usahwan Sekolah Kebangsaan Relau 2010 telah ditamatkan pada jam 12.30 tengah hari.

Rabu, April 07, 2010

SOALAN PERIBAHASA - 5B (7 APRIL 2010)

Pilih jawapan yang sesuai bagi soalan-soalan di bawah.

1 Seseorang yang telah tertipu sekali akan sentiasa beringat pada masa hadapan.
A. patah tumbuh hilang berganti
B. pisang takkan berbuah dua kali
C. alah bisa tegal biasa
D. memikul biawak hidup Jawapan :

2 Melakukan sesuatu dengan tidak bersungguh-sungguh.
A. alang-alang mandi biar basah
B. hangat-hangat tahi ayam
C. alang-alang menyeluk pekasam
D. makin murah makin menawar Jawapan :

3 Seseorang yang tidak mempunyai harta benda.
A. kain sehelai sepinggang
B. sudah jatuh ditimpa tangga
C. retak menanti belah
D. berkerat rotak berpatah arang Jawapan :

4 Kamu melakukan kebajikan, tetapi orang lain pula yang mendapat nama.
A. yang sejengkal tidak boleh menjadi sehasta
B. lembu punya susu sapi dapat nama
C. memikul biawak hidup
D. lain bengkak lain menanah Jawapan :

5 Seseorang itu mendapat kesenangan jika rajin berusaha
A. ringan tulang berat perut
B. ringan sama dijinjing, berat sama dipikul
C. nasi sudah menjadi bubur
D. segan bertanya sesat jalan Jawapan :

6 Sesuatu yang hilang akan berganti akhirnya.
A. zaman beralih, musim bertukar
B. patah tumbuh hilang berganti
C. sekali air bah, sekali pantai berubah
D. indah khabar daripada rupa Jawapan :

7 Encik Vicky dan Puan Cindy ________ apabila berjalan bersama.
A. ada padi semua boleh jadi
B. ada udang sebalik batu
C. nasi sudah menjadi bubur
D. bagai pinang dibelah dua Jawapan :



8 Zaiman akan menyimpan satu perempat daripada gajinya setiap bulan kerana dia berpendapat ……………………..
A. lembut gigi daripada lidah
B. beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis
C. nasi sudah menjadi bubur
D. patah tumbuh hilang berganti Jawapan :

9 Ratnam mengambil keputusan tidak mahu aktif dalam kegiatan sukan lagi kerana dia tidak mahu pelajarannya terabai seperti …………………
A. yang dikejar tidak dapat yang dikendong berciciran
B. tua-tua keladi, makin tua makin menjadi
C. bagai enau dalam belukar
D. sekali jalan kena, dua kali jalan tahu Jawapan :


10 Ali itu panjang tangan seperti ayahnya, perangainya itu seperti ………….
A. diam ubi berisi diam penggali berkarat
B. kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan
C. bagaimana acuan begitulah kuihnya
D. lembu punya susu, sapi dapat nama Jawapan :

Ahad, April 04, 2010

KARANGAN PERIBAHASA - TAHUN 6

TAJUK PERIBAHASA (CERITA) 1

TIP PENULISAN

• Karangan peribahasa merangkumi simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, dan bidalan.

• Perlu memahami maksud yang tersurat dan tersirat. Jika tidak memahami atau tidak mengetahui maksudnya , anda jangan membuat karangan jenis ini.

• Boleh menulis secara cerita atau penerangan.

• Penulisan secara cerita mesti berkaitan dengan tajuk dan sebaik-baiknya cerita ada nilai murni.

• Jika secara penerangan, terangkan maksud dan kepentingannya kepada masyarakat.


Peringatan:

Soalan jenis peribahasa belum pernah keluar dalam UPSR


Soalan Perbincangan


Tulis sebuah cerita berdasarkan peribahasa ‘ Dimana ada kemahuan di situ ada jalan ‘


Panjang karangan anda mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan dan tidak melebihi 120 patah perkataan.

Langkah 1

Kamu mestilah membaca soalan karangan tersebut dengan teliti . Fahamkan tema atau kehendak cerita yang hendak ditulis . Garis maklumat-maklumat yang penting supaya anda tidak melakukan kesilapan semasa membuat rangka karangan.

Langkah 2

Berdasarkan tema atau tajuk kamu bolehlah membuat kerangka karangan . Sebaik-baiknya kerangka karangan yang hendak dibuat berdasarkan peta minda. Peta minda hendaklah seberapa ringkas . Apa yang penting kamu dapat memahaminya kerana masa untuk mencari isi penting dan membina peta minda tidak lebih 5 minit.

Langkah 3
Berdasarkan peta minda di atas , anda bolehlah menulis karangan anda. Semasa mengarang , binalah ayat-ayat yang betul mengikut tatabahasanya supaya anda tidak kehilangan markah di bahagian ini. Baca contoh karangann di bawah ini.


DI MANA ADA KEMAHUAN DI SITU ADA JALAN

Malu, malu, di mana akan aku sorokkan mukaku . Rasa malu dan sedih menyelubungi diriku apabila cikgu mengembalikan kertas Sains dan Bahasa Inggeris. Aku cuma mendapat 25 dan 30 peratus. Ini bermakna aku mendapat ‘D’ bagi kedua-dua matapelajaran..

Aku bingung , dulu sewaktu aku dalam tahun lima markahku tidak seteruk ini. UPSR enam bulan lagi. Fikiranku terus berkecamuk , aku benar-benar insaf , akau telah banyak menghabiskan masaku di padang. Sepatutnya , kecemerlanaganku di padang seiring dengan kecemerlangan di kelas. Aku berjanji pada diriku untuk menebus kegagalalan ini.

Ibu memang tidak menghalang aku aktif dalam bidang sukan, tetapi ibu sentiasa mengigatkan aku agar pandai membahagikan masa , selain itu ibu juga menyuruh aku mengikuti kelas tuisyen tetapi aku sentiasa memberikan alasan UPSR masih jauh lagi. Sekarang baru aku sedar , bahawa aku telah jauh tertinggal daripada rakan-rakanku.

Mulai hari itu aku akan mengikuti kelas tuisyen , di samping membuat latihan intensif sekurang-kurangnya tiga jam sehari, aku yakin akau akan dapat memperbaiki kelemahanku. Aku juga akan mengikuti Klinik UPSR , untuk memastikan aku mendapat maklumat-maklumat terkini teknik belajar yang berkesan.

Tiga bulan berlalau , dalam ujian pertengahan semester aku hampir-hampir tidak percaya markahku telah melonjak hampir mencapai ‘A’. Walaupun aku masih ketinggalan jika dibandingkan dengan rakan-rakanku yang lain aku tetap yakin menjelang ujian percubaan UPSR nanti aku boleh mencapai markah yang maksimum.

Apabila keputusan ujian percubaan dikeluarkan , aku mendapat 5A . Aku mampu tersenyum, usahaku sejak lima bulan yang lalu benar-benar memeberi kesan. Aku yakin aku akan beroleh kecemerlangan dalam UPSR yang akan belangsung sebulan lagi jika akau terus meningkatkan usahaku. Bak kata pepatah “ di mana ada kemahuan di situ ada jalan .”


Langkah 4

 Selepas mengarang , anda hendaklah membaca semula karangan . Betulkan semua kesalahan tatabahasa dari segi penggunaan perkataan ,struktur ayat, penggunaan imbuhan , tanda baca dan ejaan.

 Anda juga boleh menyuruh rakan-rakan untuk menyemak karangan anda , terutamanya aspek-aspek seperti di atas . Sebarang kesalahan yang dilakukan, hendakalah dibuat pembetulan dengan segera dan memastikan tidak akan berlaku kesalahan yang berulang .



Latihan minggu ini.

1 Karangkan sebuah cerita berdasarkan peribahasa “Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu , bersenang-senang kemudian”.

Tuliskan karangan tersebut selengkapnya.


2 Tulis suatu cerita berdasarkan peribahasa “ Hidup sepakat membawa berkat”.

3 Tulis satu cerita berdasarkan peribahasa “ Kalau tidak dipecahkan ruyung, masakan dapat sagunya”.



GLOSARI:

• Perkataan-perkataan yang terdapat dalam ruangan ini dipilih daripada
Huraian Sukatan Pelajaran Tahun 5 dan 6.

berbaur : bercampur campur ( gas , cecair, perasaan)
berang : perasaan marah yang amat sangat
bikin : melakukan sesuatu menjadi, membuat
cuak : takut,gentar
cubitan : hasil perbuatan mencubit,gentilan,ketilan
gelintir : benda yang berbutir-butir, kata yang digunakan untuk menyatakan bilangan manusia yang tidak ditentukan jumlahnya bilangan manusia tak
penghebah : orang yang menghebahkan berita
kelongsong : pembungkus atau pembalut yang berbentuk bulat banjang
seperti bentuk kon
santai : tidak bersusah-susah , bersenang-senang
menyurih : membuat garisan,menggores,menyalin atau menekap peta dengan menggunakan kertas surih



Contoh latihan karangan soalan 1


Hidup sepakat membawa berkat

Desa Warisan adalah sebuah kampung yang aman damai. Kampung ini terletak di seberang sebuah sungai. Seseorang mesti melalui sebuah jambatan apabila hendak ke kampung tersebut.

Pada suatu hari hujan ribut menyebabkan jambatan itu patah dan runtuh .Keesokannya penduduk Desa Warisan beramai-ramai membina jambatan tersebut. Sekejap sahaja jambatan itu siap dibina dan boleh digunakan semula.

Penduduk Desa Warisan hidup bersatu padu demi keamanan kampung.Mereka bergotong-royong membuat kerja-kerja terutamanya kerja-kerja menanam padi, membina serau , balai raya dan sebagainya.

Mereka juga menubuhkan persatuan-persatuan seperti persatuan kebudayaan, persatuan belia , kelab keceriaan untuk menjalankan berbagai aktiviti yang dapat memajukan dan mengeratkanlagi hubungan antara penduduk.

Pendeknya Desa Warisan sukar digugat oleh anasir-anasir yang tidak baik kerana sikap mereka yang bersatu padu dan sentiasa meningkatkan permuafakata mereka untuk memajukan desa yang tercinta , bak kata pepatah ‘ Hidup sepakat membawa berkat’.

Oleh hal yang demikian tidak hairanlah kalau Desa Warisan terpilih menjadi kampung terbaik di peringkat negeri dalam pertandingan antara kampung baru-baru ini. Selain itu, kampung tersebut telah menjadi tumpuan kampung-kampung lain untuk meninjau rahsia kejayaanya.