RSS

Selasa, Ogos 28, 2012

SEMINAR KECEMERLANGAN BAHASA MELAYU UPSR 2012

A. PENGENALAN KERTAS BAHASA MELAYU PENULISAN
Nama Kertas : 012 – Bahasa Melayu.
Masa : Satu jam lima belas minit.
· Kertas soalan ini mengandungi tiga bahagian:
Bahagian A. Bahagian B dan Bahagian C.

· Kamu dikehendaki menjawab ketiga-tiga bahagian. Bagi bahagian B, kamu boleh memilih sama ada menjawab Soalan 1, Soalan 2 atau Soalan 3.

Pengenalan Bahagian A

. Soalan bahagian ini wajib dijawab
. Bentuk soalan di bahagian A ialah soalan bergambar
. Gambar terdiri daripada gambar bersiri atau gambar tunggal
. Kamu mestilah membina ayat-ayat lengkap berdasarkan maklumat atau aktiviti yang terdapat dalam gambar tersebut.



Contoh soalan:

Tulis lima ayat yang lengkap tentang gambar di bawah.


Tulis lima ayat yang lengkap tentang gambar di bawah.


PENGENALAN BAHAGIAN B

Untuk menghadapi UPSR, anda sepatutnya mahir menulis karangan seperti di bawah:
1. Rangsangan kata                            11. Gambaran/keperihalan
2. Biografi                                         12. Surat kiriman tidak rasmi
3. Autobiografi                                   13. Surat kiriman rasmi
4. Karangan bergambar                      14. Laporan
5. Temu ramah                                  15. Berita
6. Diari                                             16. Ucapan
7. Dialog                                           17. Syarahan
8. Menyudah/melengkapkan cerita       18. Peribahasa
9. Cerita                                            19. Perbahasan
10. Fakta                                           20. Perbincangan

Panduan Menulis Karangan
Untuk menghasilkan sebuah karangan yang baik, anda perlu mengikut langkah-langkah penulisannya. Dengan berbuat demikian, karangan yang dihasilkan bukan sahaja kemas, teratur, dan mempunyai isi yang mantap, malah dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan.

Langkah-langkah yang dicadangkan ialah
· Baca soalan dengan teliti dan faham kehendaknya soalan
· Mencatat isi-isi penting (dicadangkan menggunakan peta minda)
· Menulis karangan lengkap berdasarkan isi-isi penting dalam peta minda.
· Semak semula karangan yang telah siap. Jika ada kesalahan ejaan atau struktur ayat, buat pembetulan.
Soalan Perbincangan
Cuti persekolahan , adalah saat yang ditunggu-tunggu oleh ibu bapa dan murid-murid. Pelbagai aktiviti yang menyeronokkan diatur oleh ibu bapa untuk memenuhi waktu percutian tersebut. Tuliskan pengalaman kamu dan keluarga mengisi percutian tersebut.
Tuliskan karangan tersebut selengkapnya.

Panjang karangan anda mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan dan tidak melebihi 120 patah perkataan.

Langkah 1
Kamu mestilah membaca soalan karangan tersebut dengan teliti . Fahamkan tema atau kehendak cerita yang hendak ditulis . Garis maklumat-maklumat yang penting supaya anda tidak melakukan kesilapan semasa membuat rangka karangan.

Langkah 2
Berdasarkan tema atau tajuk kamu bolehlah membuat kerangka karangan . Sebaik-baiknya kerangka karangan yang hendak dibuat berdasarkan peta minda. Peta minda hendaklah seberapa ringkas . Apa yang penting kamu dapat memahaminya kerana masa untuk mencari isi penting dan membina peta minda tidak lebih 5 minit.

Langkah 3
Berdasarkan peta minda di atas , anda bolehlah menulis karangan anda. Semasa mengarang , binalah ayat-ayat yang betul mengikut tatabahasanya supaya anda tidak kehilangan markah di bahagian ini. Baca contoh karangann di bawah ini.
PERCUTIAN YANG MENYERONOKKAN
Musim cuti sekolah merupakan saat yang ditunggu-tunggu oleh para pelajar dan ibu bapa. Aku dan keluargaku telah merancang satu percutian yang menyebabkan aku tidak sabar-sabar lagi untuk menunggu harinya.

Sebagaimana yang dirancang, minggu pertama aku dan keluargaku menjadikan Tasik Kenyir sebagai destinasi percutian yang utama. Kami sekeluarga menginap di Rumah Rehat Persekutuan. Setiap hari ada sahaja aktiviti yang kami lakukan seperti memancing, berkayak dan tidak ketinggalan menikmati keindahan air terjun Lasir, Saok, serta menjelajah beberapa buah pulau yang terdapat di tasik tersebut.

Dari Tasik Kenyir kami tidak pulang ke rumah, sebaliknya kami terus balik ke kampung. Aku dan adik tinggal di kampung, ayah dan ibu pula terpaksa pulang ke ibu kota untuk bekerja. Inilah peluang aku dan adik mandi di sungai dan tidur di dusun . Seminggu kemudian ayah dan ibu datang menjemput kami, walaupun belum puas kami bersama datok dan nenek di kampung.

Ayah telah menyusun beberapa aktiviti untuk kami seperti membersih serta mengindahkan persekitaran rumah kami, membersihkan kolam ikan di samping mengecat pasu bunga. Selain itu kami juga mengecat bilik tidur kami dengan bantuan ibu dan ayah.

Walaupun sekolah akan dibuka tiga minggu lagi tetapi ayah telah membawa kami ke pasar raya untuk membeli pakaian serta peralatan sekolah. Selain itu, ayah juga membelikan buku-buku kerja dan pelbagai buku rujukan untuk persediaanku menghadapi UPSR .

Aku berasa sungguh puas kerana sepanjang cuti persekolahan ini aku dapat memenuhi masa tersebut dengan aktiviti yang sangat menyeronokkan, selain itu aku juga dapat menimba pelbagai pengalaman yang sukar untuk aku lupakan.

Langkah 4
Ø Selepas mengarang, anda hendaklah membaca semula karangan. Betulkan semua kesalahan tatabahasa dari segi penggunaan perkataan, struktur ayat, penggunaan imbuhan, tanda baca dan ejaan.

Ø Anda juga boleh menyuruh rakan-rakan untuk menyemak karangan anda, terutamanya aspek-aspek seperti di atas. Sebarang kesalahan yang dilakukan, hendakalah dibuat pembetulan dengan segera dan memastikan tidak akan berlaku kesalahan yang berulang .
CONTOH SOALAN BAHAGIAN B
Masa dicadangkan : 40 minit
Markah : 30 markah

Pilih satu daripada tajuk-tajuk di bawah dan tulis sebuah karangan yang panjangnya tidak kurang daripada 80 patah perkataan.
l. Kamu menyertai pertandingan syarahan. Tajuk syarahan kamu ialah "Faedah-­faedah Bersukan". Tuliskan syarahan kamu itu selengkapnya.
ATAU
2. Anda dan keluarga mengunjungi sebuah pasar raya yang terkemuka di ibu kota. Pasar raya itu telah mengadakan jualan murah bersempena dengan musim cuti sekolah.
Perihalkan suasana di pasar raya itu.
ATAU
3. Fikri duduk termenung di halaman rumah. Hatinya sedih. Di mana dia hendak mendapatkan wang untuk membayar yuran sekolah.....
Mulakan cerita anda dengan ` Di mana dia hendak mendapatkan wang untuk membayar yuran sekolah.....

PENGENALAN BAHAGIAN C
· mengandungi satu teks
· banyak pengajaran atau nilai murni.
· wajib dijawab.
· menyatakan pengajaran dalam teks
· pengalaman seharian pelajar.

Panduan menjawab bahagian C
• baca teks yang diberi dengan teliti.
• senaraikan pengajaran atau nilai-nilai murni
• buat ulasan berpandukan nilai- nilai murni
• ulasan yang dibuat hendaklah menyatakan pengajaran
• ulasan dalam satu perenggan
• pastikan kamu dapat mengulas sekurang-kurangnya 5 nilai

Tulis beberapa pengajaran yang boleh kamu peroleh daripada puisi di bawah. Panjang karangan kamu tidak kurang daripada 50 patah perkataan. Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.

Johan seorang murid yang sangat berbudi bahasa. Walupun dia anak orang berada, namun Johan tidak sombong. Johan sentiasa merendah diri dan bersedia membantu rakan-rakannya. Setiap hari, dia datang ke sekolah dengan menaiki kereta mewah yang dipandu oleh seorang pemandu, apabila balik dari sekolah dia tidak keberatan mengajak beberapa orang rakannya balik bersamanya. Selain itu, dia sangat menghormati guru-gurunya. Dia akan memastikan setiap tugasan yang diberikan oleh guru-gurunya dapat disempurnakan. Justru, tidak hairanlah jika Johan disayangi oleh murid-murid dan guru-guru di sekolahnya.

Panduan menjawab bahagian C
Langkah 1

Baca dan fahami puisi yang diberi.
Fahami pengajaran atau nilai-nilai murni yang tberdapat dalam teks puisi tersebut.


Langkah 2
Catakan pengajaran atau nilai murni yang terdapat dalam teks puisi.
- sepakat
- dorongan
- sumbangan derma
- simpati
- tenang
- tabah

Langkah 3
Tulis pengajaran atau nilai murni yang telah kamu catatkan. Panjang karangan kamu tidak kurang daripada 50 patah perkataan. Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.

Contoh jawapan
Pengajaran daripada teks di atas ialah mengenai amalan berbudi bahasa boleh mencetuskan tindakan yang cemerlang kepada seseorang yang mengamalkannya. Sikap sombong yang hanya merugikan kita akan dapat kita kawal kerana kita sedar orang yang sombong akhirnya akan kehilangan rakan. Sifat merendah diri pula merupakan sifat terpuji kerana sentiasa menghormati perasaan dan pandangan orang lain dan tidak sesekali beranggapan bahawa kita sentiasa betul. Selain itu, sikap suka membantu rakan adalan amalan yang akan menjadikan kita orang yang sentiasa disayangi dan hormati. Seterusnya sebagai seorang murid, sudah sewajarnya kita menghormati dan menyayangi guru. Guru merupakan orang yang bertanggungjawab mendidik kita selain daripada ibu bapa kita. Justru, tanpa guru siapalah kita. Oleh itu, tidak ada sebab mengapa kita tidak menghormati guru-guru kita.

Langkah 4
§ Baca semula ulasan tersebut. Dalam proses penyemakan, perkara-perkara berikut perlu diperhatikan ialah kesalahan penggunaan kata, struktur ayat, penggunaan imbuhan, tanda baca, dan ejaan.

Soalan latihan 1 ;
Zaiton merupakan anak yang baik. Dia tidak akan berdiam diri apabila berada di rumah. Ada sahaja kerja yang dibuatnya bagi membantu ibu bapanya. Dia sentiasa menolong ibunya membasuh pinggan mangkuk, membasuh baju, dan mengemas rumah. Setiap pagi sebelum ke sekolah dia akan pastikan buku-buku yang dibawa mengikut jadual. Selain itu, bilik tidurnya juga akan dikemaskan supaya kelihatan kemas dan bersih. Dia juga sentiasa menjaga kebersihan diri. Rambutnya disisir kemas sebelum dia memakai tudung. Kukunya pula sentiasa pendek. Pakaiannya sentiasa bersih dan kemas. Pada cuti hujung minggu setelah menyiapkan kerja rumah yang diberi oleh guru, dia akan membantu ibu bapanya membersihkan halaman rumah. Kadang-kadang dia bersama-sama ayah dan ibunya mencuci kereta mereka. Tidak hairanlah jika Zaitun disayangi oleh ibu bapanya.

Soalan latihan 2 ;
Saliha ialah ketua kelas Tahun 6 Ikhlas. Dia seorang ketua kelas yang bertanggungjawab. Apabila guru tiada di dalam kelas, Saliha akan memastikan rakan-rakannya dalam keadaan senyap dan membuat kerja masing-masing.
Saliha juga memastikan rakan-rakan yang bertugas membersihkan kelas mengikut tugas mereka. Sekiranya ada rakannya yang tidak menjalankan tugas, Saliha akan menegur dan menyuruh mereka melakukan tugas tersebut. Sebagai ketua, Saliha tidak bersikap pilih kasih. Sesiapa yang membuat kesalahan akan ditegur. Jika terdapat rakannya yang masih melakukan kesalahan yang sama, Saliha akan melaporkan kepada guru kelas.
Saliha juga seorang murid yang aktif dalam kokurikulum sekolah. Dia merupakan pemain pasukan bola jaring sekolah. Saliha berlatih dengan bersungguh sungguh sekiranya akan menyertai sesuatu pertandingan. Saliha sentiasa bersemangat tinggi untuk mencapai kejayaan dalam mana-mana pertandingan yang disertai. Bagi Saliha, kemenangan yang dicapai merupakan sumbangan yang berharga kepada sekolah. Oleh itu, tidak hairanlah Saliha sangat disenangi guru-gurudan rakan-rakannya.

Soalan latihan 3 ;
Setelah meminta izin dan bersalam dengan ibu bapanyanya, Razman pun terus ke sekolah. Petang itu kelasnya mengadakan satu projek sains iaitu membuat taman burung. Razman dan rakan-rakannya bekerja keras menyiapkan projek itu. Mereka saling bekerjasama dan menjalankan tugas masing-masing sepertimana yang telah diarahkan oleh Cikgu Dasuki. Tiga jam kemudian, Razman dan rakan-rakannya pun pulang. Mereka pulang dengan berbasikal. Mereka menunggang basikal dengan berhati-hati. Mereka tidak suka bersaing-saing dan berlumba-lumba. Dalam perjalanan pulang itu, mereka telah melihat sekumpulan kanak-kanak sedang bermain layang-layang di jalan raya. Razman terus menghampiri kumpulan kanak-kanak yang sedang asyik bermain lalu menasihatkan mereka supaya tidak bermain layang-layang di jalan raya. Razman memberitahu mereka walupun mereka bermain di jalan kampung, mereka mungkin boleh ditimpa kemalangan kerana banyak kereta dan motorsikal yang lalu-lalang.
A. PENGENALAN KERTAS BAHASA MELAYU PEMAHAMAN
Masa: 50 minit
Soalan diberi: 40 soalan
Perlu jawab: 40 soalan
(Soalan 1 hingga 30 – Tatabahasa dan
31 hingga 40 - Kefahaman)
Bentuk Soalan: Objektif Aneka Pilihan

Antara aspek soalan penggunaan bahasa;
v imbuhan
v penjodoh bilangan
v peribahasa
v kata ganda
v penggunaan kata tepat
v erti kata
v tanda baca
v ayat sama maksud
v kata banyak makna
v membina jawapan
v membina soalan
v kesalahan umum tatabahasa
v kata hubung
v lawan kata

Contoh soalan;

1 ".....................memohon diri," sembah Tun Perak kepada Sultan Mahrnud.
A Beta
B Patik
C Tuanku
D Saya

2 Halim duduk di atas titi itu dengan kaki ……. ke bawah.
A terjuntai
B tercecah
C terjulur
D tertadah

Soalan 3
3 Gasing yang sedang dimainkan oleh Amin dan rakan-rakanya berputar …………… apabila dibaling ke tanah.
A ligat
B laju
C deras
D cepat
4 Kakaknya sedang menganyam ……………… tikar dan …………….. bakul.
A sejurai , seikat
B sebidang , sebiji
C sekuntum , sekeping
D seikat , segugus
Soalan 5
5 Apakah simpulan bahasa yang berkaitan dengan situasi dalam gambar ?
A. mandi peluh
B. mandi kerbau
C. mandi hujan
6 “Anak saya sering ………………….semasa tidur,” kata Kak Nab.
A meracau-racau
B meragut-ragut
C menganga-nganga
D merayap-rayap
7 Penglihatannya yang kabur menyebabkan dia terpaksa di ……………
apabila melintas jalan..
A didukung
B dituntun
C dipapah
D ditonton
Pilih perkataan seerti bagi perkataan yang bergaris.
8 Karim mencampak kain yang koyak itu ke dalam tong sampah.
A mengambil
B melontar
C mengutip
D melambungkan


Pilih soalan yang paling sesuai untuk ayat yang bergaris.

9. Projek Waja Diri yang dijalankan oleh pihak sekolah adalah untuk membendung
gejala yang tidak sihat di kalangan murid

A Bagaimanakah caranya pihak sekolah memulakan projek Waja Diri?
B Mengapa projek Waja Diri itu dijalankan untuk murid?
C Benarkah pihak sekolah akan mengendalikan Waja Diri?
D Apakah tujuan pihak sekolah ingin menjalankan projek Waja Diri?

10 Pak Selamat mundar-mandir di hadapan rumahnya lantaran risaukan anaknya yang masih belum pulang dari sekolah.
A Apakah yang dirisaukan oleh Pak Selamat?
B Benarkah anak Pak Selamat belum pulang dari sekolah?
C Mengapakah Pak Selamat asyik mundar-mandir di depan rumahnya?
D Bagaimanakah keadaan Pak Selamat sewaktu menantikan anaknya?

Pilih ayat-ayat yang betul.
11 A Kasut bertumit tinggi itu bukan sesuai dipakai oleh wanita yang mengandung.
B Telefon antik di kedai itu tidak untuk dijual tetapi untuk pameran sahaja.
C Daerah Besut bukan di negeri Kelantan tetapi di negeri Terengganu.
D Budak lelaki yang bertahi lalat itu tidak adik Sulaiman.
12 I Saya tidak akan berhati kecil dengan awak.
II Mengapa kamu suka sangat berdolak-dalik?
III Janganlah suka mempermain-mainkan orang yang lebih tua.
IV Kalau diikutkan hati, mangkat engkau aku kerjakan.
A I, dan 11 sahaja
B I dan !V sahaja
C II dan III sahaja
D III dan !V sahaja
13 I Para tetamu yang hadir dijemput masuk di dalam dewan itu.
II Suhaila ialah sepupu saya kerana ibu saya dan ibunya adik-beradik.
III Antara Suzi ataupun Nani, masing-masing tidak dapat melompat parit itu.
IV Saya tidak memahami percakapannya kerana dia menggunakan bahasa pasar.
A I dan II
B I dan III
C II dan IV
D III dan IV




14 I Buku cenderamata yang berwarna keemasan itu untuk tetamu khas.
II Di antara acara yang akan dipertandingkan ialah catur dan congkak.
III Puan Azian yang mengajar di sekolah itu berasal daripada Sandakan.
IV Pasukan bahas itu menjadi johan kerana pembahas-pembahasnya berpengalaman.
A I dan II
B I danIV
C III dan IV
D I dan IV
Pilih ayat yang sama maksud dengan ayat yang bergaris.
15 Beberapa orang kampung sedang sibuk bergotong-royong membersihkan surau itu.
A Beberapa orang sedang sibuk bergotong-royong membersihkan surau itu.
B Beberapa orang surau kampung sedang sibuk bergotong-royong
membersihkannya.
C Surau itu sedang sibuk dibersihkan secara gotong-royong oleh beberapa orang kampung.
D Surau kampung sedang sibuk dibersihkan secara bergotong-royong oleh beberapa orang itu.

16 “Wah, cantiknya pemandangan di Kuala Gua ini pada waktu petang!” kata Jamal.
A Jamal menjelaskan kecantikan di Kuala Gula pada waktu petang.
B Jamal memuji kecantikan pemandangan Kuala Gula pada waktu petang.
C Jamal memuji kecantikan Kuala Gula pemandangan pada waktu petang
D Jamal menunjukkan kecantikan pemandangan di Kuala Gula pada
waktu petang.
Pilih ayat atau ayat-ayat yang menggunakan perkataan bergaris dengan betul.
17 I Orang sudah tua, tetapi banyak olahnya.
II Olah siapakah ini, kalau bukan olah kamu.
III Bagaimana olah mereka mengumpul kekayaan sebanyak itu ?
IV Sharmila suka olah diri, apabila tiada membuat sesuatu kerja.
A I , II dan III sahaja
B I ,II dan IV Sahaja
C II , III dan IV sahaja
D I , III dan IV sahaja






Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soala-soalan yang
berikutnya.

Kita hidup dalam zaman global. Kita semua dihubungkan dengan rangkaian telekomunikasi.Rangkaian ini adalah ibarat jalan raya atau lebuh raya .Rangkaian ini membolehkan manusia menghubungi satu sama lain , tidak kira di mana , dengan pantas. Jarak dan sempadan negara tidak lagi penting dalam zaman global ini.
Rangkaian mewujudkan pelbagai keadaan yang menarik . Sebagai contoh seorang pelajar tidak perlu ke sekolah untuk belajar Sains . Dia boleh belajar dari rumah menerusi kaedah pembelajaran jarak jauh. Dengan kombinasi gambar , imej bergerak , bunyi dan perkataan , multimedia merangsang segala deria kita secara serentak .Dengan demikian, teknologi maklumat akan dapat memaksimakan keupayaan seseorang dalam pembelajaran.
Seorang peminat bola sepak tidak perlu pergi ke Berazil untuk menyaksikan sesuatu perlawanan. Dia boleh menontonnya ‘secara langsung ‘ menerusi televisyen. Seorang ahli perniagaan tidak perlu keluar pada pagi Ahad untuk membeli akhbar . Dia boleh membacanya dari komputer atau skrin televisyen. Sebuah kedai buku tidak lagi bergantung kepada pelanggan dari kalangan penduduk berhampiran, tetapi boleh memasarkan bukunya ke seluruh dunia melalui Internet .
Dalam waktu yang terdekat ini , multimedia interaktif akan disampaikan ke rumah-rumah di seluruh dunia . Bayangkan betapa besarnya pasaran global yang baru ini. Bayangkan betapa banyaknya peluang perniagaan untuk syarikat-syarikat yang membekallan perkakasan , perisian atau kandungan ! Bayangkan betapa banyak faedah yang boleh dinikmati oleh pengguna !
Sebuah industri baru dan menarik akan muncul . Dunia berada di ambang apa yang dinamakan Era Maklumat atau Revolusi Maklumat. Sesungguhnya ia benar-benar akan merupakan satu revolusi kerana manusia akan memberi dan mendapat maklumat dan pengetahuan dengan cara yang tidak pernah kita fikirkan sebelum ini.
Mutu kehidupan akan bertambah baik .Kita boleh menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga . Mereka boleh memulakan pejabat di rumah atau pejabat bergerak .Mereka tidak lagi perlu berada di pejabat untuk menulis laporan atau membuat persembahan jualan .Kita akan mempunyai lebih kawalan atas pergerakan dan jadual harian kita.

1. Rencana berkenaan membincangkan…
A penggunaan teknologi maklumat
B perkhidmatan telekomunikasi.
C mutu teknologi maklumat.
D perniagaan maklumat

2. Bahan-bahan multimedia dapat memenuhi keperluam pembelajaran kerana
A mudah diperoleh dalam pasaran
B lebih mudah digunakan
C tidak perlu guru.
D dapat merangsang serentak segala deria kita.

3 Perkara berikut adalah benar mengenai teknologi maklumat kecuali
A komputer akan menjadi satu keperluan.
B tahap pemikiran akan bertambah.
C membuka banyak peluang perniagaan
D pembelajaran menjadi semakin rumit.

4 Apakah maksud rangkaikata ‘Pasaran Global’ dalam petikan tersebut.
A satu revolusi
B pasaran dunia
C pasaran penduduk negara
D pasaran untuk pengguna berkomputer sahaja.

5. Era Maklumat atau Revolusi Maklumat, menjanjikan pelbagai peluang perniagaan.Bagaimanakah kita boleh merebut peluang perniagaan tersebut ?
A Membeli komputer
B Membeli perkakasan atau perisian
C Memasarkan maklumat perniagaan
D Mengiklankan barangan jualan kita

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.